Penerima diseru daftar BR1M sebelum tarikh pembayaran

Mereka yang layak diseru agar mendaftarkan diri untuk program Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) sebelum 31 Disember ini, untuk melayakkan diri bagi bayaran pada suku pertama 2013, Menteri Kewangan II Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata pada hari Sabtu lalu.

“Kami akan membuat pembayaran pada suku pertama 2013. Mereka yang masih belum mendaftar dinasihat berbuat demikian sebelum 31 Disember, supaya mereka dapat menerima bayaran ketika tarikh pembayaran.”

“Jika mereka lewat mendaftar, bayaran juga akan lewat dibayar. Mereka boleh mendaftar secara atas talian (online) atau secara manual (kaunter LDHN). Apabila pembayaran dibuat pada suku pertama nanti, semua yang telah berdaftar akan dibayar.” kata beliau kepada pemberita semasa merasmikan program Karnival Usahawan SME Bank, di sini.

Walaupun begitu, beliau menyatakan bahawa tiada tarikh tutup ditetapkan untuk pendaftaran BR1M yang mula dibuka pada 1 November.

Tambah beliau lagi, lebih dari 2.3 juta permohonan telah diterima untuk BR1M setakat 17 Disember, dengan lebih daripada 1.6 juta merupakan permohonan dari individu bujang dan lebih dari 720,000 untuk permohonan isirumah.

Warganegara Malaysia yang pendapatan isirumahnya kurang daripada RM3,000 sebulan adalah layak untuk menerima bantuan sekali bayar RM500, manakala bagi yang belum berkahwin dan berumur 21 tahun dan ke atas serta berpendapatan kurang dari RM2,000 sebulan juga layak untuk bantuan sekali bayar RM250.

Ahmad Husni turut menyatakan bahawa 54% daripada permohonan BR1M dibuat secara manual manakala selebihnya secara atas talian.

Borang permohonan boleh didapati secara percuma daripada mana-mana cawangan dan pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri, Pejabat Daerah, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jabatan Penerangan dan boleh dimuat turun atau diisi terus secara atas talian di laman sesawang LHDN, www.hasil.gov.my.

Menurut beliau, BR1M tahun ini melibatkan peruntukan sebanyak RM3 bilion, dijangka akan memberi faedah kepada 4.3 juta isirumah dan 2.7 juta individu bujang.

Tahun lepas, sebanyak 4.2 juta orang mendapat faedah daripada pembayaran BR1M pertama, membabitkan peruntukan sebanyak RM2.1 bilion.