Subsidi lain mungkin dipotong demi BR1M

Kerajaan sedang menimbangkan untuk mengurangkan beberapa subsidi, lebih-lebih lagi yang “kurang penting” supaya peruntukan tersebut boleh digunakan untuk BR1M.

Tan Sri Muhyiddin Yassin

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ini adalah untuk memastikan kesinambungan skim Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M), yang mana menurutnya telah menerima sambutan yang amat menggalakkan sejak wang bantuan tersebut diperkenalkan mulai tahun 2013.

Walaupun beliau tidak menyatakan secara khusus mengenai subsidi yang mungkin dikurangkan oleh kerajaan, beliau turut mengingatkan rakyat Malaysia supaya mengurangkan pengambilan gula bagi menjaga kesihatan.

Kerajaan buat masa ini membelanjakan RM456 juta setiap tahun untuk subsidi gula, selain daripada RM22 bilion untuk subsidi minyak.

“Jika polisi ini disokong, kita mahukan ianya kekal,” kata Muhyiddin sebelum mengedarkan bantuan kepada 2,798 penerima di Pusat Komuniti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur di Segambut tengahari tadi.

Turut hadir ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon dan Menteri Wilayah dan Kesejahteraan Bandar Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin.

Kerajaan sentiasa mencari jalan untuk membantu rakyat, dan BR1M merupakan salah satu daripadanya, kata Muhyiddin lagi.

Kira-kira RM3 bilion akan diagihkan kepada 7.3 juta rakyat yang bakal menerima RM500 setiap seorang bagi peringkat pertama BR1M 2.0 yang dilancarkan awal bulan ini.

Beliau juga mengingatkan mereka yang hadir bahawa kerajaan juga telah mengawal harga sesetengah barangan bagi memastikan rakyat mendapat faedah dan tidak dibebankan dari segi kewangan, walaupun terdapat tuduhan daripada pembangkang yang Barisan Nasional tidak membantu rakyat. Walaubagaimana pun kerajaan dikatakan tidak menghadapi sebarang masalah untuk terus mengeluarkan bajet untuk BR1M, menurut hebahanĀ oleh Najib beberapa hari yang lalu.

“Tidak ada kerajaan lain yang berbuat sebegini. Cuma di Malaysia ada undang-undang untuk mengawal harga barangan,” katanya lagi.

Beliau juga menggesa agar rakyat menyokong Barisan Nasional jika mereka suka dengan polisi-polisi yang diperkenalkan.