Undang-undang Baru BNM Tidak Akan Menjejaskan BR1M

Undang-undang baru Bank Negara Malaysia untuk menghadkan tempoh pinjaman maksimum untuk pinjaman peribadi dan perumahan, tidak akan menjejaskan BR1M dan pertumbuhan domestik, kerana ianya mempunyai asas utama yang disokong pelbagai sektor.

Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata, pertumbuhan ekonomi negara turut bergantung kepada penggunaan (perbelanjaan) dan pelaburan sektor swasta di samping perbelanjaan kerajaan.

“Asas utama untuk pertumbuhan domestik sudah ada. Kita mahukan sektor perbankan berkualiti tinggi, bermakna kecairan di dalam sektor itu, tidak akan merasakan kesannya.”

“Pelabur dari sektor korporat dan para usahawan boleh mendapatkan pinjaman dengan lebih mudah. Apabila kita meningkatkan kualiti perbelanjaan oleh rakyat dan sektor perbankan, ianya juga akan menyumbang kepada pertumbuhan negara,” katanya kepada wartawan Ahad lalu.

Beliau sebelum itu merasmikan sebuah program untuk meningkatkan penggunaan perpustakaan oleh orang ramai di bawah skim Perpustakaan 1 Malaysia, di Kampung Datuk Ahmad Said Tambahan 3, di Manjoi.

Ahmad Husni berkata, langkah baru dari BNM itu, dijangka menampakkan penurunan pinjaman, tetapi tidak memberi kesan kepada perbelanjaan keseluruhan dan sektor swasta, serta perbelanjaan kerajaan yang mempunyai asas keseluruhannya yang tersendiri.

“Di dalam sektor perbankan, walaupun polisi pinjaman adalah tinggi, kita dapat melihat di dalam konteks Sistem Pembayaran Minimum, ianya adalah sangat rendah. Kita mahu menghala ke arah kemampuan yang lebih tinggi bagi isu perumahan ini,” tambahnya lagi.

Katanya, jika kemampuan adalah rendah, ada yang akan meminjam di luar institusi perbankan formal, dan ianya adalah amalan yang tidak baik dan boleh membawa masalah, dan pihak kerajaan mahu menguatkan sistem ekonomi formal seperti yang ada sekarang ini.

Ahmad Husni berkata, inisiatif BNM yang berkuatkuasa serta merta, juga dapat mengubah budaya perbelanjaan seseorang itu kepada yang lebih positif.

Ujarnya, ianya amat membimbangkan apabila kajian BNM menunjukkan akibat mudahnya mendapatkan pinjaman persendirian dan tempoh pembayaran yang panjang, rakyat Malaysia yang terlibat mempunyai “pendapatan bawa pulang” yang lebih rendah.

Selain daripada pinjaman berkualiti tinggi, inisiatif BNM turut akan menjana rakyat Malaysia yang berpendapatan tinggi, kata Ahmad Husni.

“Untuk jangka panjang, kami melihat dari segi tahap gaji, dan ini adalah penting untuk memastikan pertumbuhan ekonomi yang disasarkan dicapai.”

“Ini bermakna apabila pertumbuhan yang disasarkan menuju ke arah negara berpendapatan tinggi dengan pendapatan negara kasar yang tinggi, ianya dapat membolehkan pengagihan pendapatan kepada pekerja di sektor awam dan swasta, disamping meningkat pendapatan rakyat,” tambah beliau.

Ahmad Husni berkata, polisi ke arah ini sudah sedia ada melalui Program Transformasi Ekonomi dan ianya menuju ke arah tahap yang boleh dicapai.

Ini meskipun mulai dari tahun ini hingga ke 2020, pertumbuhan ekonomi global menjadi semakin mencabar berdepan dengan penyusutan.

Apabila ditanya jika ada lagi cadangan yang hendak dibentangkan dalam Belanjawan 2014 berikutan pengumuman BNM mengenai inisiatif baru ini, beliau berkata apa yang diumumkan sudah mencukupi.

“Kami tidak melihat sebarang masalah untuk meningkatkan tahap BR1M. Ianya adalah asas bagi polisi rasionalisasi subsidi.”

Subsidi kerajaan adalah amat besar dan ianya dinikmati oleh semua orang tanpa mengira tahap pendapatan.

“Kami sedang mengkaji bagaimana untuk merasionalkan subsidi tersebut dan mengalihkan rasionalisasi tersebut kepada golongan sasaran melalui BR1M,” kata Ahmad Husni.